loading...
PELURU BERPANDU KOREA UTARA BOLEH SAMPAI KE MALAYSIA?
Perkataan yang paling hangat diperkatakan dalam dunia geopolitik 2-3 hari ini ialah THAAD.
Sementara kita dan Korea Utara menarik tali, Kim Jong-un turut melancarkan 4 biji peluru berpandu ke Laut Jepun pada Isnin yang lalu (6 Mac). Ke laut, 'literally', kesian ikan salmon dalam laut. Pahlawan kekunci yang baru berjinak-jinak nak jadi pakar senjata terus lemah semangat dan meminta kerajaan kita mengalah. 'Habislah kita, nuklear depa boleh sampai kat Malaysia kot!' ujar mereka.
Selama ini saya menolak kemungkinan Korea Utara menyerang Malaysia menggunakan peluru berpandu, kerana ia adalah di luar kepentingan strategik Korea Utara, sedangkan peluru berpandu adalah aset strategik Korea Utara. Tetapi, kalau, kalau lah, Kim Jong-un tiba-tiba naik sawan dan ingin menyerang Malaysia, adakah peluru berpandu Korea Utara yang membawa kepala peledak nuklear ('nuclear warhead') mampu mengancam keselamatan Malaysia?
Jawapannya TIDAK. Sebab yang pertama: jarak minimum di antara tempat pelancaran peluru berpandu Korea Utara (Hwadae) dan Malaysia ialah 4,210km (Kudat) hingga 4,952km (Kuala Terengganu). Untuk menyerang Malaysia, Korea Utara memerlukan peluru berpandu balistik antara benua ('inter-continental ballistic missile' - ICBM) yang boleh terbang sejauh 5,000km. Namun Korea Utara tidak berjaya membangunkan ICBM. Percubaan terakhir Korea Utara menguji ICBM bernama 'Taepodong-2' pada tahun 2006 telah gagal.
Yang Korea Utara main tembak ke laut Jepun itu ialah peluru berpandu jarak pendek ('short-range ballistic missile' - SRBM - maksimum 600km), jarak sederhana ('middle-range ballistic missile' - MRBM - maksimum 1,300km) dan jarak perantaraan ('intermediate-range ballistic missile' - IRBM - maksimum 3,500km). Antara peluru berpandu yang dimiliki Korea Utara ialah Scud-C (SRBM), Rodong-1 dan Rodong-2 (MRBM) dan Taepodong-1 dan Musudan (IRBM).
Paling jauh Korea Utara boleh pergi ialah 2,500km dengan Taepodong-1. Korea Utara kata mereka boleh pergi sampai 4,000km dengan Musudan, namun tiada bukti bahawa Musudan boleh berfungsi. Sasaran utama Korea Utara ialah Korea Selatan dan Jepun. Tetapi kebanyakan masa peluru berpandunya jatuh ke laut. Sejak tahun 1993, pelancaran peluru berpandu Korea Utara tidak pernah mencederakan seekor kambing pun.
Sebab yang kedua: jangan kata Malaysia, ruang udara Korea Selatan pun Korea Utara tidak dapat menembusi. Ini kerana tindakan melulu Kim Jong-un pada Isnin lepas telah membolehkan Amerika Syarikat menyempurnakan sistem pertahanan peluru berpandu 'Theater Missile Defense' (TMD) yang dibangunkan selepas Korea Utara melancarkan Taepodong-1 pada 31 Ogos 1998. Tujuannya adalah untuk melindungi sekutunya, Jepun dan Korea Selatan.
Konsep pertahanan peluru berpandu ('missile defense') adalah memusnahkan peluru berpandu menggunakan peluru berpandu yang bertindak sebagai penangkis ('interceptor'). Peluru berpandu yang dilancarkan ke udara akan melalui 4 fasa: 'boost', 'ascent', 'mid-course' dan 'terminal'. Apabila peluru berpandu berada di fasa 'boost' atau 'ascent', radar dalam sistem akan dapat mengesan ia dan memberi isyarat kepada penangkis untuk menembak jatuh ('hit-to-kill') peluru berpandu ketika ia memasuki fasa 'terminal'. Jadi, peluru berpandu dimusnahkan sebelum ia sempat mendarat dan meletup. Dengan itu, 'missile defense' juga dikenali sebagai 'missile shield' kerana ia umpama perisai yang memayungi objek lindungan daripada ancaman peluru berpandu.
Pada asalnya, sistem 'Patriot' digunakan ('Patriot' = Phased Array Tracking to Intercept of Target’). Ia dapat menangkis peluru berpandu di altitud 40km. Namun, pada Mac 2014, Korea Utara telah membuat sedikit inovasi: Korea Utara melancarkan Rodong di altitud yang lebih tinggi, walaupun jarak dipendekkan, supaya ia dapat mengelak Patriot. Jadi, THAAD ('Terminal High Altitude Area Defense') telah diperkenalkan untuk 'counter' balik taktik baru Korea Utara. THAAD boleh memintas peluru berpandu yang terbang di altitud melebihi 40 km. Dengan adanya THAAD, Patriot (model PAC-2/3) dan Aegis (di laut), sistem TMD Amerika hampir sempurna untuk melindungi sekutunya di Asia Timur.
China yang paranoid sentiasa melihat diri sebagai sasaran THAAD yang sebenarnya, 'ancaman Korea Utara' cuma alasan yang direka Amerika, katanya. Walaupun THAAD direka khas untuk memintas SRBM dan MRBM, bukan ICBM China yang mensasarkan Amerika, namun sistem radar THAAD dapat memantau dan mengesan pergerakan ICBM China dan memberi isyarat kepada sistem 'National Missile Defence' (NMD) di Amerika.
Jadi, sejak tahun 1998 lagi China cuba mempengaruhi Korea Selatan supaya tidak menerima sistem TMD Amerika. China sanggup menjadi orang tengah di antara Korea Utara dan Korea Selatan dalam rundingan menyelesaikan masalah ancaman nuklear Korea Utara. China melarang Korea Utara membuat provokasi. Zaman Kim Jong-il, boleh lagi. Namun Kim Jong-un yang berdarah muda suka melakukan provokasi yang merosakkan geostrategi China. Sifat liar dan angkuh Kim Jong-un menyebabkan dia tidak serasi dengan Beijing. Sehingga hari ini, Kim Jong-un masih belum bertemu dengan pemimpin tertinggi China, sesuatu yang luar biasa dalam hubungan dua hala China dan Korea Utara.
Selepas Kim Jong-un menguji bom hidrogen pada Januari 2016, Korea Selatan telah memutuskan pada Februari 2016 untuk membeli THAAD. Tindak balas China ialah suruh rakyatnya memboikot barangan Korea Selatan. China cuba memaksa Korea Selatan mengubah fikiran melalui tekanan ekonomi. Walaupun skandal presiden Park Geun-hye membawa harapan penundaan pemasangan THAAD, sekiranya Moon Jae-in (seorang yang bersimpati dengan Korea Utara) menjadi presiden baru. Namun tindakan Kim Jong-un pada Isnin lepas telah memuktamadkan penempatan THAAD di Korea Selatan, pada tarikh keramat 7 Mac 2017. China sekarang betul-betul menyampah dengan Kim Jong-un.
Adakah Malaysia mempunyai sistem pertahanan udara yang dapat menangkis serangan peluru berpandu? Jawapannya ADA. Malaysia memiliki sistem peluru berpandu permukaan-ke-udara ('surface-to-air missile' - SAM) yang memainkan peranan seakan sama dengan THAAD, antaranya Rapier. Kalau peluru berpandu Korea Utara berjaya memasuki ruang udara Malaysia pun, ia pun boleh ditembak jatuh.
Hanya pahlawan kekunci yang tak tahu hujung pangkal sistem pertahanan dan keselamatan negara akan gelabah dan meroyan tak tentu pasal. Ya, peluru berpandu boleh sampai. Sampai dalam mimpi awak.
Ayuh mari kita memperkasakan ilmu ketenteraan!
Nota kaki: 'missile defense' dan 'nuclear deterrence' adalah antara subjek kesukaan saya dan saya pernah mengulas pasal ia di sini (https://www.facebook.com/photo.php?fbid=10205625723922030&set=a.1494100212092.57754.1821685114&type=3&permPage=1) dan sini (https://www.facebook.com/photo.php?fbid=10205906382658323&set=a.1494100212092.57754.1821685114&type=3&permPage=1), jadi, tak ada lah 'pakar jadian' atau 'pakar mee segera' sangat.
loading...
0 Response to "Konflik Malaysia-Korea Utara anda perlu tahu PELURU BERPANDU KOREA UTARA BOLEH SAMPAI KE MALAYSIA?"
Post a Comment