Ini cabaran yang perlu dilalui bila bercinta, bertunang & berkahwin dengan anggota tentera

loading...

Ini cabaran yang perlu dilalui bila bercinta, bertunang & berkahwin dengan anggota tentera

Gambar hiasan | Google Images
Oleh Pink Ummi

Entri ini untuk mereka mereka yang akan bercinta, sedang bercinta, bertunang dan berkahwin dengan tentera. Yang lain boleh baca saja. Hehe!

Bila cerita pasal bercinta, bertunang dan berkahwin dengan kaum Adam yang berkerjaya tentera ini, memang macam cabaran dan dugaan. Rasanya dari mula bercinta sampai dah beranak pinak cabaran itu tetap ada. Bila bercinta, bertunang dan berkahwin dengan lelaki berkerjaya tentera ini, satu perkara yang kaum Hawa kena tahu dan ingat bahawa kerjaya mereka memang tak tentu masa. 

YOU KNOW WHAT? DI BELAKANG SEORANG TENTERA ITU BERDIRINYA SEORANG WANITA YANG SANGAT KUAT AND IT'S TRUE!!!!

Sebagai contoh, masa bercinta cinta dulu korang dah berjanji nak keluar makan sama-sama hari Sabtu. Dalam kepala dah plan ini, nak shopping sana sini ketuk duit BF, kan? Tapi tiba masa, terpaksalah plan korang  dibatalkan sebab si BF ada tugas yang lebih penting. 

Masa itu, mulalah si GF merajuk bagai mogok tak nak mesej, tak nak jawab panggilan sebab tak jadi keluar dating. Betul tak? Mulalah si BF pening kepala nak pujuk GF. 

Tetapi situasi berlaku mungkin untuk sebulan dua. InsyaAllah lama kelamaan si GF akan faham tugas BF dia sebab dah kerap melaluinya. Tapi kalau dapat GF jenis yang tak setia, hi hi bye byelah pada BF itu. 

Selepas itu, korang dah bertunang, perkara yang sama masih berlaku. Kena cancel date last minute. Yang lebih teruk, kena tinggal berminggu-minggu lamanya sebab mungkin si tunang kena bertugas di luar kawasan (masuk hutan atau belayar) atau kena berkursus. 

Masa itu korang yang dah sah bergelar tunang dia kena redha dalam terpaksa. Apa boleh buat? Dah itu tugas dia sebagai tentera. 

Bila dah berkahwin, lagilah besar dugaan yang datang. Terpaksa duduk berjauhan dengan suami sebab suami bertugas di tempat lain, korang bertugas di tempat lain. Nak jumpa pun sebulan sekali. Ada yang tiga bulan sekali dan ada juga yang bertahun tak jumpa. Ada juga yang baru berkahwin terus ditinggalkan suami kerana tugas. 

Begitu juga dengan saya dulu. Selepas kahwin, suami terpaksa tinggalkan saya sebab kena pergi bertugas di Pulau Lankayan, Sabah untuk operasi di sana. Makanya, berayalah saya seorang diri ditemani keluarganya. 
Sebenarnya ada bermacam-macam dugaan berkahwin dengan tentera. Ada isteri yang sedang mengandung ditinggalkan. Isteri nak pergi check up pun seorang diri.  Nak bawa anak-anak untuk rawatan di klinik pun seorang diri. Bercuti? Kadang-kadang nak bawa anak-anak jalan-jalan pun kena seorang diri. Adakalanya bila dah buat perancangan dengan baik nak bawa anak-anak pergi bercuti, tapi terpaksa dibatalkan pada saat-saat akhir kerana si bapanya dipanggil balik untuk bertugas. 

Nak salahkan siapa? Si isteri sudah tentulah faham dan redha. Cuma kadang-kadang kasihankan anak-anak yang tak faham membuatkan mereka memberontak dan merajuk. Jadi di sinilah peranan seorang isteri yang sangat penting. Dialah bapa, dia jugalah ibu yang perlu memantau anak-anak di kala suami keluar bertugas. 

Saya masih ingat lagi semasa saya mengandungkan anak sulung. Saya dan suami PJJ. Saya di PULAPOL Air Hitam, Jempol. Dia di UPNM, Kem Sungai Besi. Segala-galanya saya buat sendiri di kala sarat mengandungkan anak kami. Kadang-kadang terdetik juga di sudut hati kecil saya, pergi klinik untuk check up bulanan ditemani suami. Timbul juga perasaan cemburu melihat isteri lain ditemani suami. Alangkah beruntungnya mereka. 

Tetapi saya sedar, situasi mereka tidak sama dengan saya. Cepat-cepat saya istighfar. Ya, rasa bersalah sangat bila timbul rasa itu dalam hati kerana bila saya sah bergelar isteri seorang tentera, inilah salah satu cabaran yang saya harus lalui. Bercinta lain dugaannya, bertunang juga lain dugaannya, berkahwin apatah lagi. 

Pendek kata, menjadi pasangan kepada anggota tentera ini banyak mengajar diri saya menjadi lebih kuat, tabah, sabar dan berdikari. Segala-galanya kena buat sendiri. Yang paling penting, bagaimana nak menepis godaan orang luar di kala kita ditinggalkan pasangan kerana bertugas demi negara. 

Sebenarnya, dah banyak kes yang saya dengar bila suami keluar bertugas isteri pasang lain di belakang suami dan begitu jugalah sebaliknya. Bagi saya, bila sudah bergelar isteri tentera ini, satu yang kita kena tahu dari segi Islam, apa-apa pun kita sebagai isteri wajib taat pada suami, kena jaga maruah suami dan hartanya dan dalam masa yang sama kita kena betul betul faham tugas suami kita sebagai anggota tentera yang kerjanya tak tentu masa. Siang malam. Pagi petang, Time cuti pun kena panggil masuk kerja. Itu yang kita kena pegang. 

Saya sendiri pun selalu ingatkan diri sendiri, saya dah bersuami dan ada anak anak. Suami keluar cari rezeki, jadi saya kena pandai jaga diri, jaga maruah. Selalu ingat suami No.1 dan syurga saya di bawah tapak kaki suami. Jika saya buat sedikit salah sekalipun, saya tetap berdosa. Bila dah tersedar saya buat salah, cepat-cepat minta maaf kat suami. Takut dapat "ketulahan". Hehehe.

Sebab itu kalau adik-beradik dan saudara mara saya yang nak berkahwin dengan tentera, saya bagi nasihat satu saja. Bila berkahwin dengan tentera kita kena faham tugas mereka. Jangan sekali-kali mengeluh bila mereka tidak punya masa dengan kita dan keluarga. Kalau tak bersedia nak ada pasangan yang berkerjaya seperti ini, baik dilupakan saja niat itu. Nanti menyesal kemudian hari. Bila kita nekad dan nak juga dia jadi pasangan kita, maknanya kita dah betul-betul bersedia menghadapi segala kemungkinan yang akan terjadi.

Apa yang saya taip nih berdasarkan pengalaman sendiri yang berkahwin dengan anggota tentera. Masa saya taip status ini, encik suami tiada sebab pergi berkursus selama dua bulan. Jadi saya kongsi dengan kawan-kawan tentang kehidupan kami yang berpasangan dengan tentera ini. 

loading...

0 Response to "Ini cabaran yang perlu dilalui bila bercinta, bertunang & berkahwin dengan anggota tentera"

Post a Comment

'; (function() { var dsq = document.createElement('script'); dsq.type = 'text/javascript'; dsq.async = true; dsq.src = '//' + disqus_shortname + '.disqus.com/embed.js'; (document.getElementsByTagName('head')[0] || document.getElementsByTagName('body')[0]).appendChild(dsq); })();
facebook KLIK PANGKAH 2 KALI UNTUK TUTUP Button Close